welcome

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENINJAU KE BLOG SAYA. INI ADALAH BLOG PERIBADI TIDAK ADA KAITAN DGN MANA-MANA PERTUBUHAN. MOHON MAAF JIKA ADA ANTARA TULISAN SAYA YG MENYINGGUNG MANA-MANA PIHAK. KESILAPAN TERSEBUT ADALAH TIDAK DISENGAJAKAN. TEGURAN ANDA AMAT DIALU-ALUKAN. AKHIR KATA, TERUSKAN MEMBACA KISAH YG TERPAPAR, YG BAIK JADIKAN TAULADAN, YG BURUK JADIKAN SEMPADAN. TERIMA KASIH! ('',)

Tuesday, January 3, 2012

Manisnya Meninggalkan Yang HARAM


                Pada suatu malam yang hening, seorang lelaki yang kelaparan berjalan-jalan disekitar Madinah. Ketika mencari makanan, lelaki itu terbau makanan yang enak dari sebuah rumah berhampiran.
Keadaan rumah itu gelap menandakan penghuninya sudah tidur. Oleh kerana nafsu laparnya tidak dapat dikawal tambahan pula tidak ada wang untuk membeli makanan, akhirnya dia mendapat ilham.

                Sambil menoleh ke kiri dan ke kanan untuk memastikan tiada orang melihat perlakuannya, lelaki itu menghampiri rumah itu bertujuan untuk memasukinya.

Setelah memastikan tidak ada sesiapa melihat perbuatannya, lelaki itu perlahan-lahan mengompel pintu rumah itu dan terus masuk tanpa disedari oleh pemilik rumah.

                Sebaik sahaja masuk, dia terus mencari di mana bauan makanan itu disimpan. Akhirnya dia bertemu makanan yang diletakkan di atas meja di dalam rumah. Tanpa berlengah, dia segera mencapai makanan yang enak itu.

Tetapi perlakuannya tiba-tiba sahaja terhenti apabila teringatkan pesanan Rasulullah S.A.W ketika mengikuti majlis ilmu selepas Maghrib pada malam tersebut.

Di dalam majlis ilmu itu berulang kali Rasulullah s.a.w berpesan, “Barangsiapa meninggalkan yang haram, dia akan mendapatkan yang halal.” Teringatkan pesan itu, lelaki itu tidak jadi hendak mengambil makanan tersebut walaupun pada ketika itu dia masih kabur apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w.

Akhirnya lelaki itu pun beredar.

                Ketika mahu melangkah keluar dia ternampak pula sebuah almari. Di bawah almari itu terdapat laci. Lantas dia segera membukanya. Alangkah terkejutnya apabila dia terpandangkan barang-barang kemas yang tersimpan disitu. ‘Sudah tentu aku tidak perlu bekerja keras jika mendapat emas sebanyak ini’ fikirnya dalam hati.

                Dia segera menggenggam emas itu untuk dimasukkan ke dalam poket baju tetapi sebaik sahaja menggenggamnya, pesanan Rasulullah terngiang-ngiang di telinga.

“Tinggalkan yang haram, percayalah kamu akan mendapat yang halal.” Pesanan itu berulangkali masuk ke telinganya.

Sekali lagi, lelaki itu tidak jadi mengambil emas tersebut dan meletakkannya kembali ke dalam laci. Oleh kerana tidak jadi mengambil barang kemas itu, dia segera beredar. Ketika melewati sebuah bilik yang terbuka, dia terlihat seorang perempuan cantik sedang tidur.

                Tergoda nafsu lelakinya apabila melihat wanita cantik itu tidur dengan pakaian yang mengghairahkan. Dia tidak mampu untuk mengawal nafsu, lantas menghampiri wanita yang sedang lena itu.
Nafsunya meluap-luap tambahan pula hasutan syaitan supaya melakukan maksiat terhadap wanita itu tidak mampu di kawal lagi. Ketika itu juga nafsunya berperang hebat.

Saat dia mahu memegang tubuh perempuan itu, sekali lagi pesanan Rasulullah s.a.w menusuk kuat dalam fikirannya.

“Tinggalkan yang haram, kamu pasti akan mendapatkan yang halal!”

                Pesanan yang menerjah itu menyebabkan dia beristighfar berulang kali. Perlahan-lahan dia keluar tanpa sempat menutup semula pintu bilik itu sebagaimana dia membukanya tadi.

                Setelah gagal memperolehi apa yang di hajati, dia kembali ke masjid tanpa disedari subuh hampir menjelang. Setelah bersolat subuh secara berjemaah, dia kemudian berbaring di serambi dan akhirnya terlena kerana terlalu mengantuk.

Apabila matahari sudah naik dan hari mulai siang, seorang perempuan bertemu dengan Rasulullah s.a.w yang ketika itu masih berada di masjid.

“Ya Rasulullah. Malam tadi rumahku telah dimasuki pencuri tetapi mujur saja tiada barang yang hilang. Saya percaya pencuri itu akan datang lagi. Saya menjadi takut dan memohon Rasulullah mendapatkan seorang pengawal untuk mengawal rumah saya,” beritahu wanita itu dengan harapan hajatnya dapat ditunaikan.

“Wahai Puan, dengan siapakah kamu tinggal?” Rasulullah s.a.w bertanya.

“Saya seorang janda dan tinggal seorang diri, Ya Rasulullah,” ujarnya.

Sebaik sahaja mendengar penjelasan itu, Rasulullah memandang di sekitar masjid jika ada sesiapa yang boleh ditawarkan menjadi pengawal rumah perempuan itu. Akhirnya Rasulullah ternampak lelaki tadi yang sedang terbaring di serambi masjid.

Rasulullah s.a.w segera mengejutkan lelaki itu dan bertanya, “Hai lelaki, apakah pekerjaan kamu sehingga tertidur di sini?”

“Ya Rasulullah, saya tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap,”

“Adakah kamu sudah berkeluarga?”

“Saya seorang duda yang kematian isteri. Sejak itu hidup saya tidak terurus kerana sedih dengan pemergiannya, ya Rasulullah,”

“Bagaimana kalau aku tawarkan kamu pekerjaan?”

“Apakah pekerjaan itu Ya Rasulullah?”

“Menjadi pengawal rumah seorang perempuan”

“Siapakah perempuan itu Ya Rasulullah?”

“Perempuan itu seorang janda dan memerlukan pengawal kerana rumahnya di masuki pencuri. Dia bimbang pencuri itu akan masuk kerumahnya lagi,” beritahu Rasulullah sambil mengharapkan jawapan lelaki itu.
Kemudian Rasulullah memperkenalkan wanita tersebut kepada lelaki itu. Alangkah terkejutnya lelaki itu apabila melihat wanita tersebut. Ya…dialah wanita yang hampir-hampir mencairkan imannya.

“Tetapi saya seorang duda dan dia seorang janda, tentulah tidak elok jika pada waktu malam saya berada di rumah itu ya Rasulullah,”lelaki itu melahirkan rasa bimbang.

“Jika begitu, bagaimana jika aku cadangkan kamu berdua bernikah supaya kamu dapat menjadi penjaga rumah itu dan menjaga perempuan ini daripada sebarang gangguan.”

Lelaki itu tidak menjawab sebaliknya tersipu-sipu malu. Begitu juga dengan wanita itu yang tersipu-sipu malu walaupun di dalam hati tidak menolak jika dijodohkan dengan lelaki itu.

“Apa pendapat kamu wahai lelaki?”

Oleh kerana terharu dengan permintaan Rasulullah, lelaki itu akhirnya membuka rahsia. Dia menceritakan apa sebenarnya yang terjadi pada malam itu gara-gara tidak dapat menahan nafsu. Tetapi setelah di asak dengan terjahan pesanan Rasulullah dia tersedar lantas bertaubat.

Akhirnya Rasulullah menikahkan lelaki itu dengan wanita itu bersaksikan para sahabat. Sebaik sahaja dinikahkan, barulah lelaki itu mengerti apa yang terdirat disebalik pesanan Rasulullah s.a.w supaya meninggalkan yang haram dan mendapat yang halal.

Lelaki itu bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah menyelamatkannya daripada hawa nafsu dan bisikan syaitan. Alhamdulillah…

No comments: